Sunday, January 20, 2013

UUM, diam-diam panas (copy paste)

Post blog kali ini saya "copy paste" dari blog Muhammad Mohamad Idris
Reaksi sulung Timbalan Menteri Pengajian Tinggi,
Dato' Saifuddin Abdullah di Facebook

Percaya atau tidak, UUM dikenali sebagai universiti ‘sepi dan pendiam di tengah hutan’, terpinggir dari kota. UUM terletak di bumi Sintok, 40km dari utara Alor Star, 10km dari timur pekan kecil Changlun. Keluasan universiti ini cukup besar, 1061 hektar. Sediam-diam UUM, rupa-rupanya dihuni oleh lebih 24,000 manusia, melingkungi mahasiswa dan kakitangan universiti. Akhbar Indonesia, Publik, pernah menulis UUM sebagai “universitas megah di tengah hutan.”

Siapa sangka, diam-diam UUM ibarat diam-diam ubi, UUM, diam-diam ‘panas’?

Dua hari lepas, timbul isu “listen 2013” (istilah saya) berkenaan ‘satu kejadian’ dalam Forum “Seiringkah mahasiswa dengan politik?” pada 8 Disember lalu. Tindakan Dr. Sharifah Zohra Jabeen, wakil NGO yang dikatakan tidak memberi kebenaran kepada pelajar bernama Bawani KS untuk menghabiskan pertikaiannya menjadi isu besar. Reaksi Dr. Sharifah atau ‘panggilan manjanya’, Kak Pah, terhadap pertikaian sekerat jalan itu turut menjadi pertikaian besar di mata banyak mahasiswa.

Nampaknya, baru selesai sahaja isu tarian Gangnam sewaktu minggu orientasi reda, timbul pula isu baru.

Luahan ahli jawatan kuasa program,
saudara Syahmi Zakaria yang perlu dinilai
Oleh sebab isu ini diapi-apikan di Facebook dan disebarkan secara meluas, maka “orang-orang yang tidak berkenaan dengan UUM” pun masuk campur, tumpang sekaki. Hatta, ‘ayat-ayat wayang pun bergema’, masing-masing mahu tunjuk jaguh. Ada pula, bukan nak tolong selesaikan masalah, tetapi memburukkan nama universiti yang terkenal dengan “Universiti Pengurusan Terkemuka.”

Hanya dengan video 24.18 minit...
Tergamak pula ada orang mengatakan UUM tidak berkualiti, UUM tiada pensyarah berkaliber, dan mahasiswa bodoh, seolah-olah tiada satu pun yang cerdik (walaupun UUM ada pelajar-pelajar yang CGPAnya 3.80-4.00), hanya dengan satu video yang panjangnya 24.18 minit itu. 

Agaknya ramai yang lupa, UUM yang tertubuh pada 16 Februari 1984 ini, telah menggapai banyak anugerah yang membanggakan. UUM telah diberi pengiktirafan cemerlang (5 bintang) menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi pada tahun 2011 atau Setara ’11 (mStar, 2012).

Sementelahan itu, UUM telah dinobat antara yang terbaik dalam penilaian Top Business School (TBS) di Malaysia. Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria utama antaranya kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan serta perkhidmatan yang diberikan oleh OYA-GSB dalam tempoh tiga tahun yang lalu (Blog MPP, 2012).

Ramai juga cemburu agaknya dengan kejayaan UUM meraih tempat kedua dalam kalangan 20 institusi pengajian tinggi terbaik dunia daripada segi penggunaan paling tinggi pangkalan data maklumat Emerald bagi 2010. Untuk makluman, lebih 45,000 organisasi termasuk universiti terkemuka, sekolah perniagaan, jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat terkenal dari seluruh dunia melanggan pangkalan data maklumat ini (Utusan, 2011).

Masih ingatkah lagi, kertas kerja bertajuk The Significance of Thaipusam in Motivating Domestic Travel Amongst the Malaysian Indian Community yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Azilah Kassim menerima anugerah kertas kerja terbaik pada Persidangan Antarabangsa Pelancongan 2008 di Universiti Akdeniz, Alanya, Turki? (Utusan, 2008). 

Inisiatif ini mungkin wajar dicontohi bagi mendengar sendiri
perkara yang berlaku.
Bagi pengkhianat universiti, kaki sabotaj UUM, pastinya tersenyum lebar apabila isu ini mendapat perhatian meluas. Mana tidaknya, orang-orang luar yang tidak jelas akan isu ini, memaki hamun UUM dengan kata-kata nista, tanpa penilaian yang teliti. Hinggakan, ada yang berkata, “Aku tidak pernah jumpa universiti yang sejijik ini!” Kesian mereka di mata saya. Sedih, simpati, dan istighfar.

Oleh sebab saya diasak untuk memberi komentar, berikut adalah beberapa jawapan terhadap soalan yang diajukan:

“Apa perkara yang perlu diberi perhatian terhadap isu ini?”
  1. Cara atau manhaj atau pendekatan perlaksanaan program itu sendiri. Saya dimaklumkan perlaksanaan majlis ini ‘bermasalah’. Tajuk forum ini, “Seiringkah mahasiswa dengan politik?” tidak dikupas dengan baik dan kurang jelas. Lebih penting, prinsip keneutralan dalam penyampaian forum ketika berwacana didakwa tidak dituruti. Kegagalan menjaga sensitiviti politik turut mengakibatkan ‘kegoyahan’ dan ‘kesumbangan’ program terbabit.
  2. Sahabat saya yang mengikuti forum tersebut turut mengadu, panelis tidak menjaga sensitiviti politik. Selain itu, beberapa persoalan yang dikemukakan oleh peserta (selain Bawani), didakwa tampak mengecewakan atau “jawapan ala kadar”. Hatta, permasalahan inilah yang perlu diambil pengajaran kelak.
  3. Reaksi Dr. Kak Pah terhadap persoalan dan pandangan saudari Bawani tampak ‘jelek’. Saya senada dengan Dato’ Saifuddin, “Saya tidak akan menjawabnya dengan cara jawapan dalam video itu. Saya takkan sebut ayat yang membawa maksud buat apa duduk di Malaysia & buat apa belajar di UUM.
  4. Cara saudari Bawani memberi persoalan itu perlu ditegur. Tidak perlulah ‘berkasar’ dan panjang lebar agaknya. Sebagai ‘pejuang’, berbudi bahasa dan bijak ‘memberi soalan sinis’ kepada panelis perlu dimiliki.


“Apa yang awak harapkan?
Saya berharap agak pihak atasan UUM segera menyelesaikan masalah ini dengan bijak dan berhemah. Gunalah pendekatan perbincangan. Andailah ada yang berkasar, ‘berlembutlah berhadapan dengannya’. Lihat cara Muhammad SAW berhadapan dengan orang yang sedang berkasar dengannya. UUM ramai yang mahir kaunseling, sekurang-kurang, gunakanlah mereka yang arif dengan psikologi mahasiwa.

Saya menasihati agar pihak MPP membaiki sedikit cara memberi penerangan. Jawapan atau ulasan yang diberikan melalui laman blog rasmi MPP UUM tampak tersirat. Saya pun tidak jelas sangat. Andai ramai dalam kalangan mereka yang belum mahir berkomunikasi, bolehlah menyertai kursus pengucapan umum atau penulisan media. Di UUM ada Kelab Pengucapan Umum. Bolehlah meminta bantuan mereka untuk merangka kursus. Sekurang-kurangnya, kemahiran ini penting agar dapat meningkatkan daya ‘bagi jawapan’ mereka dengan baik. MPP kini bagus, cuma perlu ditambah baik lagi.

Poster program
Kepada Yang Berbahagia Dr. Kak Pah, segeralah memberi ulasan. Sewajarnya kita memberi peluang kepada Dr. Kak Pah untuk memberi ulasan juga. Kak Pah juga dialu-alukan memohon maaf kepada saudari Bawani kerana ‘keterlanjuran’ kata yang dilafazkan. Tidak lupa juga kepada saudari Bawani, ada baiknya cuba untuk bersikap lebih lembut, tetapi liciklah memberi soalan. Kadangkala, adakalanya kita tidak boleh memberi pandangan terlalu panjang lebar, cuba ringkaskan, padat, tetapi kritis.

Kepada mahasiswa universiti lain, jangan merendahkan pemikiran, martabat, dan sikap anda. Menyerang universiti saya khususnya rakan-rakan universiti secara membabi buta tidak mencerminkan kredibiliti anda sebagai mahasiswa. Semakin kuat anda  mencaci maki, sebenarnya semakin mendangkalkan diri anda, juga mencerminkan 'pemikiran universiti' anda sendiri.

Jangan gah sangat mengata universiti orang. Macamlah universiti selain daripada UUM itu semuanya ‘suci’. Saya dengar, ada kes sebuah universiti berlakunya kes... opss..

“UUM gagal ke, hasilkan mahasiswa bagus untuk pasaran kerja?”
Saya teringat akan data yang pernah dikemukakan oleh Prof. Madya. Dato’ Dr. Ahmad Faiz Abdul Hamid, mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UUM. Kata Dato’ Ahmad Faiz, “Kira-kira 85% mahasiswa keluaran UUM diterima di pasaran kerja. Ini menjadikan UUM sebagai antara enam universiti tertinggi yang diterima di pasaran kerja.” Di mata saya, agaknya, fakta ini enggan diakui ramai, lantas ada yang dengki dengan UUM.

Kepada mahasiswa dan mahasiswi UUM, biarlah apa mereka nak caci makikan kepada kita. Sekurang-kurang, mereka yang bertindak sedemikian mendapat dosa. “Menang kutuk, pahala tergadai, dosa bertambah.”

Hishamuddin Hassan ada berkata, “Kalau yang mengkritik itu juga adalah mahasiswa atau bekas mahasiswa. Aku percaya kualiti yang dikeluarkan universiti mereka lebih rendah berbanding kita.

Kesimpulan
Meminjam kata-kata Johan Jaaffar di dalam bukunya, Nota Kaki, “Sesekali elok juga kita dikejutkan”. "Kejutan" kes ini sememangnya "membangunkan" kita justeru saya seru seluruh warga UUM mengambil iktibar daripada kes ini. Kaji secara mendalam.

Ini sahaja komentar saya selaku "orang UUM", lagipun, saya tidak terlibat secara langsung dalam forum ini, baik ajk mahupun ahli forum. Maka, jawapan saya bukanlah 100% tepat.

Secara tersirat, teringat kata-kata pensyarah saya, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri (2012), “ribut di dalam cawan jangan dibawa keluar” yang memetik satu pepatah Inggeris, "Storm in a Tea Cup". Ribut itu biasa, namun janganlah sampai tertumpah keluar, nanti semut-semut liar yang akan mendapat untung percuma. Ribut yang tidak dikawal dengan baik bukan sekadar boleh menyebabkan cawan menjadi retak malah jika kita melagakan ribut ini, ia boleh mewujudkan taufan yang boleh meranapkan.

UUM adalah universiti yang baik. Biasalah,
tiada universiti yang sempurna. Bukankah
manusia juga bukan sempurna?
Apa-apa ‘kecaman’ yang dilakukan terhadap UUM, hendaklah dikawal dengan bijak dan kreatis.

Janganlah terlalu memaki hamun MPP. Saya yakin ramai telah menambah saham dosa mereka terhadap makian dan carutan melampau terhadap Ku Amirul, termasuklah dari mereka yang kononnya da’ie alam maya. Apapun, saya hanya mampu berdoa yang terbaik untuk MPP.

Bukan senang nak jadi orang MPP. Mereka bukan duduk goyang kaki.

Saya tertanya-tanya, mengapa forum yang berlaku pada 8 Disember lalu itu, baru kini dibangkitkan?

Namun jangan lupa, kadangkala universiti juga tidak pandai menjaga hati pelajarnya.

Janganlah menilai UUM hanya dengan sekerat video itu. Tegurlah saya andai kenyataan ini ada khilafnya.

Ayuh, mari bersama-sama menjadikan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka! “Ilmu, budi, bakti”


Muhammad Mohamad Idris,
Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM.

16 Januari 2013 / 4 Rabiul Awal 1434

No comments:

Post a Comment